049. JANGAN BERSEDIH, WAHAI MANUSIA


Wahai umat manusia sekalian, hai orang yang bosan dengan kehidupan, yang tidak ghairah dalam hidup ini, yang hari-harinya sempit dan jalan nafasnya tersumbat, di sana ada kemenangan yang nyata, pertolongan yang semakin dekat, jalan keluar dari kesempitan dan kemudahan setelah kesusahan.

Persekitaran kita ada perkara-perkara kecil yang tersembunyi. Ada cita-cita yang indah, ada masa depan yang menjanjikan dan ada janji yang pasti.

Sesungguhnya kesempitan yang kita rasakan akan ada jalan keluar. Dalam musibah yang kita hadapi ada perkara yang akan menyelamatkan kita dari musibah itu sendiri. Justeru, di dalam perkara-perkara yang tidak kita sukai itu pasti ada nikmat dan kebaikan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;
“Dan (sebagai bersyukur) berkatalah mereka, ‘Segala puji tertentu bagi Allah, yang telah menghapuskan perasaan dukacita dari Kami, sesungguhnya Tuhan kami Maha Pengampun, lagi sentiasa memberi balasan yang sebaik-baiknya (kepada orang-orang yang taat).’” (Fathir 35: 34)

Wahai umat manusia, sudah saatnya kita menggantikan keraguan dengan keyakinan, penyelewengan hati dengan kebenaran, ketidaklurusan fikiran dengan hidayah, dan ketidaklurusan jalan dengan petunjuk.

Sudah sampai masanya kita menyingkap kegelapan dengan fajar shadiq, menggantikan harapan yang pahit dengan keredaan yang manis dan cubaan yang gelap dengan cahaya yang menerangi segala kebohongan.

Wahai umat manusia, di sebalik ladang yang gersang itu ada tanah yang subur yang rezekinya melimpah ruah.

Di atas gunung yang pejal ada kebun yang sangat subur, yang tidak perlu disiram hujan lebat. Kebun itu memberikan khabar gembira, harapan yang baik dan cita-cita.

Wahai orang yang tidak nyenyak tidur dan yang selalu mengeluh kerana kegelapan, kegelapan akan tersingkap dan bergembiralah dengan datangnya pagi. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;

“(Mendengarkan yang demikian tetamunya berkata, ‘Wahai Lut! Sesungguhnya kami (adalah malaikat) utusan Tuhan mu. Kaum Engkau yang jahat itu tidak sekali-kali akan dapat melakukan kepada mu (sebarang bencana). Oleh itu, pergilah berundur dari sini bersama-sama dengan keluarga mu pada tengah malam, dan janganlah seorang pun di antara kamu menoleh ke belakang. Kecuali isteri mu, sesungguhnya ia akan ditimpa azab yang akan menimpa mereka (kerana ia memihak kepada mereka). Sesungguhnya masa yang dijanjikan untuk menimpakan azab kepada mereka ialah waktu subuh; bukankah waktu subuh itu sudah dekat?’" (Hud 11: 81)

Pagi yang akan menyinarkan cahaya, kegembiraan dan kesenangan.

Wahai orang yang harinya ditimpa kesedihan, melangkahlah dengan perlahan, di ufuk sana telah tersedia jalan keluar yang akan memberikan keringanan.

Wahai orang yang matanya selalu digenangi air mata, hentikan aliran air mata itu dan berikan kenikmatan kepada kedua bola mata mu. Tenanglah, kerana kita berhak mendapat perlindungan diri Sang Pencipta dan pemeliharaan dari kebijaksanaan Nya. Tenanglah qadha telah selesai, kebijaksanaan telah dirumuskan, rintangan sudah dapat dihilangkan, otot-otot kekuatan sudah kembali segar, dan pahala telah ditetapkan bagi yang terus berusaha.

Tenanglah, kerana kita sedang berurusan dengan Zat Yang Berkuasa atas urusan Nya, yang Maha Bijaksana atas hamba-hamba Nya, yang Maha Pengasih terhadap makhluk Nya, dan yang Maha Indah dalam segala pengaturan Nya.

Tenanglah, kerana akhir dari perjalanan itu adalah kebaikan, hasilnya adalah ketenangan dan penutupnya adalah kemuliaan.

Setelah kefakiran itu akan ada kekayaan, setelah kehausan akan ada kesegaran, setelah perpisahan akan ada pertemuan, setelah bertengkar, akan datang kerukunan, setelah terputus akan bersambung kembali, dan setelah tidak tidur malam pasti akan dapat itdur nyenyak. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;

“Wahai Nabi! Apabila kamu - (engkau dan umatmu) - hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya, dan hitunglah masa idah itu (dengan betul), serta bertaqwalah kepada Allah, Tuhan kamu. Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai idahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan itulah aturan-aturan hukum Allah (maka janganlah kamu melanggarnya); dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepada dirinya. (Patuhilah hukum-hukum itu, kerana) engkau tidak mengetahui boleh jadi Allah akan mengadakan, sesudah itu, sesuatu perkara (yang lain).” (Thalaq 65: 1)

Seorang penyair mengatakan;

Perapian mereka mula terlihat saat mala mula gelap dan pengiring unta sudah letih serta petunjuk jalan telah kebingungan. Kurenungi perapian itu sedang fikiranku tidak menentu kerana perpisahan dan mataku sudah letih. Hatiku adalah hati seorang yang menderita dan kerinduan yang mencengkamku begitu mendalam. Kami bertanya kepada Yang Maha Melindungi lagi yang diharapkan pertolongan-Nya dalam setiap musibah masih adakah jalan keluar dari derita ini. Maka ternyata kami jumpai Dia Raja yang berlimpah pemberian-Nya Esa lagi Maha Agung.
Hai orang yang hidup menderita di bumi kerana didera kelaparan, kesempitan, kesengsaraan, penderitaan, kefakiran dan penyakit, bergembiralah, kerana sesungguhnya engkau bakal kenyang, bahagia, senang dan sihat. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;

“Dan malam apabila ia balik melenyapkan diri. Dan waktu subuh apabila ia terang-benderang” (Mudatsir 74: 33-34)

Seorang penyair mengatakan;

Malam pasti berlalu dan berbelenggu pasti akan patah. Barang siapa yang takut mendaki gunung nescaya selamanya akan hidup di antara galian-galian.
Sebagai seorang hamba, seharusnya berbaik sangka pada Tuhannya, menunggu kurnia dari Nya dan mengharapkan kebijaksanaan Nya. Sesungguhnya Tuhan yang perintah Nya hanya memakai kalimah ‘kun’, maka harus percaya kepada janji Nya.

Tidak seorang pun yang dapat memberikan kebaikan kecuali Dia dan tidak pula seorang pun yang dapat memberhentikan bahaya kecuali Dia. Di dalam setiap jiwa Dia telah menentukan kebijaksanaan, dalam setiap gerakan ada hikmah dan setiap saat Dia memberikan jalan keluar.

Dia yang menjadikan pagi hari setelah malam, yang menurunkan hujan setelah kegersangan, yang memberi agar disyukuri, yang menurunkan ujian untuk mengetahui siapa yang sabar dan siapa yang tidak, yang memberi kenikmatan hanya kerana Dia ingin mendengar pujian dari hamba Nya dan yang menurunkan bencana supaya hamba mahu berdoa. Ini adalah keharusan agar hamba lebih menguatkan tali hubungan dengan Nya, dan banyak memohon kepada Nya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;

“Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnia Nya. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (An-Nisa’ 4: 32)

Serta firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-A’raf ayat 55;

“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.” (Al-A’raf 7: 55)

Sebuah kisah tentang Al-‘Ala’ bin Al-Hadhrami tersesat dengan para sahabatnya di tengah padang pasir, bekalan air mereka telah habis, dan hampir sahaja mati kehausan. Al-‘Ala’ pun menyeru kepada Tuhannya dan Tuhan Yang Mendengar lagi Maha Mengabulkan doa, “Wahai Zat Bijaksana, dan Yang Maha Tabah…” dan tiba-tiba turunlah hujan. Mereka pun minum, berwudhu’, mandi dan memberi minum kepada haiwan tunggangan mereka. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Asy-Syuaraa’ ayat 28;

“Nabi Musa (menerangkan lagi tentang keesaan Allah dan kekuasaan Nya dengan) berkata, ‘Dia lah yang memiliki dan menguasai timur dan barat serta segala yang ada di antara keduanya; kalau kamu orang-orang yang berakal tentulah memahami Nya!" (Asy-Syu’ara’ 26: 28)

Renungan


Mencintai Allah s.w.t., bermakrifat kepadanya, selalu berzikir kepada Nya, mencari ketenangan dengan Nya, menenangkan hati di sisi Nya, takut, berharap dan tawakal hanya kepada Nya, dengan keyakinan bahawa Dialah yang menguasai segala keinginan dan kemahuan hamba, adalah syurga dunia dan kenikmatan yang tidak dapat disamakan dengan kenikmatan lain. Itu adalah kesenangan dan kehidupan bagi mereka yang mencintai Allah s.w.t.

Kebergantungan hati hanya kepada Allah s.w.t., ketekunan hati untuk berzikir hanya kepada Nya, dan qanaah hati adalah kerana hilangnya keresahan dan kegundahan, sebab munculnya kelapangan hati dan sebab bagi kehidupan yang baik. Oleh kerana itu, tidak ada hati yang lebih sempit dan tidak ada jiwa yang lebih resah daripada orang yang menggantungkan hatinya kepada selain dari Allah s.w.t. yang lalai berzikir kepada Allah s.w.t. dan yang tidak puas dengan yang diberikan Allah s.w.t.




M Uat turun artikel ini di sini.

048. BERSIKAP OPTIMIS


048. BERSIKAP OPTIMIS

Firman Allah s.w.t. di dalam surah At-Taubah ayat 124 hingga 125 yang bermaksud;
“Dan apabila diturunkan sesuatu surah (dari Al-Quran) maka di antara mereka (yang munafik) ada yang bertanya (secara mengejek): "Siapakah di antara kamu yang imannya bertambah disebabkan oleh surah ini?" Adapun orang-orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman mereka, sedang mereka bergembira (dengan turunnya).” (At-Taubah 9: 124 – 125)

Orang-orang soleh biasanya sangat optimis dengan masalah pelik yang mereka hadapi dan melihat ada satu kebenaran di atas manhaj yang benar. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Baqarah ayat 276;

“Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.” (Al-Baqarah 2: 276)

Dengarkan apa yang dikatakan oleh Abu Darda’ r.a.;
“Ada tiga perkara yang sangat dibenci oleh kebanyakan orang, namun aku justeru menyukainya. Aku suka kefakiran, sakit dan kematian. Mengapa? Ini kerana kefakiran adalah ketenangan hati, sakit adalah pelebur dosa dan kematian adalah pertemuan dengan Allah s.w.t.”

Akan tetapi, orang sangat benci kepada kefakiran dan mencelanya. Bahkan mereka mengatakan bahawa anjing pun membenci orang fakir seraya mengatakan;
Jika suatu hari anjing-anjing itu bersua dengan seorang yang fakir lagi papa pastilah ia akan menyalak seraya memperlihatkan taring-taringnya.

Adapun dengan penyakit, salah seorang dari mereka ada yang menyambut dengan gembira kedatangannya melalui bait syair;
“Si penghapus dosa (demam) datang dengan begitu cepat maka ku minta kepadanya dengan nama Allah s.w.t. janganlah engkau tinggalkan daku.”

Namun tidak demikian dengan Al-Mutanabbi. Ia mengungkapkan perihal demam melalui bait syairnya;
Ku berikan kepadanya berbagai selimut dan cadar tetapi ia menolak dan tetap bersemadi di dalam tulang-temulang ku.

Nabi Yusuf a.s. juga pernah mengatakan di dalam surah Yusuf ayat 33;
"Yusuf (merayu ke hadrat Allah Taala dengan) berkata: "Wahai Tuhan ku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak Aku kepada Nya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripada ku tipu daya mereka, mungkin Aku akan cenderung kepada mereka, dan Aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya." (Yusuf 12: 33)

Sedangkan Ali bin Al-Jahm juga mengatakan dengan nada yang sama;
Mereka mengatakan, “Kamu di penjara!” Aku jawab, “Aku tidak peduli dengan penjara kerana mana ada pedang yang tidak dimasukkan ke dalam sarungnya.”

Tetapi Ali bin Muhammad Al-Kattib mengatakan;
Mereka mengatakan, “Kamu di penjara!” Aku jawab, “Sesungguhnya bencana yang menyengsarakan untuk menjauhkan ku dari percaturan zaman.”

Kematian adalah sesuatu yang banyak dicari orang dan memang menyenangkan. Sehingga Mua’adz mengatakan,
“Selamat datang kematian, kekasih yang datang pada saat diperlukan, yang membuat orang yang menyesal menjadi senang.”

Al-Hushain bin Al-Hammam juga mengatakan,
“Aku terlambat kerana mempertahankan hidup yang ternyata tidak ku temui kehidupan seperti yang ku dambakan.”

Orang lain mengatakan,
“Kematian tidak perlu ditakuti kerana pasti akan tiba.”

Akan tetapi orang-orang lain akan mengeluh saat maut datang menjemputnya. Bahkan mereka membencinya dan berupaya lari darinya.

Tetapi, orang-orang Yahudi adalah manusia yang paling cinta kepada kehidupan dunia, ingin hidup selamanya. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Jumu’ah ayat 8;

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)." (Al-Jumu’ah 62: 8)

Seorang penyair mengatakan;
Sesudah kehidupan ini aku tidak mempunyai kehidupan lagi dan sesudah kepala ini aku tidak mempunyai kepala lagi.

Mati di jalan Allah s.w.t. adalah merupakan cita-cita yang didambakan oleh orang-orang yang berbakti lagi mulia sebagaimana firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Ahzab ayat 23;

“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikit pun.” (Al-Ahzab 33: 23)

Bahkan, Ibnu Rawwahah bersenandung di dalam bait syairnya;
Tetapi aku memohon keampunan kepada yang Maha Pemurah dan memohon tusukan yang mengejutkan lagi memuntahkan buih.

Ibnu Thirimmah mengatakan dalam bait-bait syairnya;
Ya Tuhan ku janganlah Engkau jadikan kematian ku di atas yang ditutupi oleh kain selimut tetapi jadikanlah kematian ku syahid berada dalam golongan yang terluka di negeri nan jauh lagi menakutkan.

Namun sebahagian yang lain kematian seperti itu adalah sesuatu yang sangat dibenci dan sangat dihindari. Jamil Butsainah pernah berkata di dalam bait syairnya;
Mereka mengatakan, “Hai Jamil, berjihadlah dalam peperangan!” Aku jawab, “Jihad mana lagi yang aku kehendaki selain mereka (wanita-wanita yang cantik).”

Seorang Badwi Arab pernah berkata,
“Demi Allah, aku benci sekali kematian di atas perbaringan ku, tetapi bagaimana jika aku mencarinya di hujung pedang?”

Firman Allah s.w.t. di dalam surah Ali-Imran ayat 168;

“Merekalah juga yang mengatakan tentang hal saudara-saudaranya (yang telah terbunuh di medan perang Uhud), sedang mereka sendiri tidak turut berperang: "Kalaulah mereka taat kepada Kami (turut menarik diri) tentulah mereka tidak terbunuh." Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika demikian, hindarkanlah maut dari diri kamu, jika betul kamu orang-orang yang benar.” (Ali-Imran 3: 168)

Firman Allah s.w.t. lagi di dalam surah Ali-Imran ayat 154;

“Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu, Allah menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan dari kamu (yang teguh imannya lagi ikhlas), sedang segolongan yang lain yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar, seperti sangkaan orang-orang jahiliah. mereka berkata: "Adakah bagi kita sesuatu bahagian dari pertolongan kemenangan Yang dijanjikan itu?" Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya perkara (yang telah dijanjikan) itu semuanya tertentu bagi Allah, (Dia lah sahaja yang berkuasa melakukannya menurut peraturan yang ditetapkan Nya)." Mereka sembunyikan dalam hati mereka apa yang mereka tidak nyatakan kepada mu. Mereka berkata (sesama sendiri): "Kalaulah ada sedikit bahagian kita dari pertolongan yang dijanjikan itu, tentulah (orang-orang) kita tidak terbunuh di tempat ini?" Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kalau kamu berada di rumah kamu sekalipun nescaya keluarlah juga orang-orang yang telah ditakdirkan (oleh Allah) akan terbunuh itu ke tempat mati masing-masing." Dan (apa yang berlaku di medan perang Uhud itu) dijadikan oleh Allah untuk menguji apa yang ada dalam dada kamu, dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hati kamu. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.” (Ali-Imran 3: 154)

Sesungguhnya kematian itu sama, tetapi caranya saja yang berbeza-beza.



Muat turun artikel ini di sini.

047. JANGAN BERSEDIH, KERANA MUSUH BERGEMBIRA ATAS KESEDIHAN ITU


Kesedihan hanya akan membuatkan musuh bergembira. Oleh kerana itu, salah satu prinsip anjuran Islam adalah berupaya untuk mengalahkan musuhnya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.” (Al-Anfal 8: 60)

Sabda Rasulullah s.a.w. kepada Abu Dujanah yang berjalan dengan angkuh di antara tentera kaum Muslimin yang kalah;

“Sesungguhnya cara jalan seperti itu dimurkai oleh Allah s.w.t. kecuali di tempat ini (medan peperangan melawan musuh).”

Rasulullah s.a.w. juga pernah memerintahkan para sahabatnya untuk berjalan dengan penuh kekuatan di sekitar Baitullah untuk menunjukkan kekuatan kaum Muslimin kepada orang-orang Musyrik.

Semoga kesusahan yang ku alami petang hari ini, berakhir dengan keselamatan, dan mendapat jalan keluar bagi kami semua

Sehingga musuh menjadi mendongkol dan kerinduan yang menyengat hati teman-teman kepada Baitullah menjadi terubat

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;

“Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun, kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (Kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira.” (Ar-Rum 30: 4)

Hati orang yang memusuhi kebenaran dan nilai-nilai keutamaan akan terhiris jika mereka tahu tentang kebahagiaan, kegembiraan dan kesenangan kita.

“Awaslah! Kamu ini adalah orang-orang (yang melanggar larangan), kamu sahajalah yang suka (dan percayakan mereka), sedang mereka tidak suka kepada kamu. Kamu juga beriman kepada segala Kitab Allah (sedang mereka tidak beriman kepada Al-Quran). Dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata: "Kami beriman", tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah (kepada kamu), Katakanlah (Wahai Muhammad): "Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu". Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.” (Ali-Imran 3: 119)

“Jika engkau (Wahai Muhammad) beroleh sesuatu kebaikan, (maka) kebaikan itu menyebabkan mereka sakit hati; dan jika engkau ditimpa sesuatu bencana, mereka berkata: "Sesungguhnya kami telah pun mengambil keputusan (tidak turut berperang) sebelum itu", dan mereka berpaling (meninggalkan mu) sambil mereka bergembira.” (At-Taubah 9: 50)

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi "orang dalam" (yang dipercayai). mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telah pun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.” (Ali-Imran 3: 118)

Seorang penyair pernah berkata;
Berapa ramai orang-orang hatinya terbakar oleh kedengkian terhadap ku
Mengharapkan keburukan menimpa ku
Tetapi tiada satu pun yang menjadi kenyataan

Penyair lain pernah mengatakan;
Ku perlihatkan ketegaran ku kepada mereka
Yang senang dengan musibah ku
Bahawa sesungguhnya aku tidak pernah goyah
Menghadapi goncangan masa.

Dalam sebuah hadith, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud;
“Ya Allah, jangan Engkau membuat musuh dan orang yang dengki kepada ku senang dengan kesusahan ku.”

Dalam hadith yang lain disebutkan pula;
“Kami berlindung kepada Mu dari ejekan musuh yang senang dengan kesusahan kami.”

Seorang penyair juga pernah berkata;
Tiap-tiap musibah pasti dapat disanggah
Oleh seorang pemuda dengan mudahnya
Selain ejekan musuh yang senang dengan musibahnya.

Tersenyum kerana kenyataan pahit, bersabar atas segala musibah dan tabah menghadapi semua ujian hanya akan membuat kecut hati orang-orang yang senang melihat penderitaan orang lain dan meredakan kemarahan di hati orang-orang yang mendengki.

“Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.” (Ali-Imran 3: 146)

Seorang penyair juga pernah berkata;
Yazid
Selalu menundukkan pandangannya kepada ku
Seakan-akan di antara kedua matanya
Ada alat yang berbekam
Bila menghadapi ku
Maka janganlah sekali-kali
Engkau menatap pandangan mu ke arah ku
Kerana jika engkau lakukan
Nescaya engkau akan tersipu malu.

Muat turun artikel ini di sini.

ARTIKEL TERKINI

(La Tahzan) 048 Bersikap Optimis