Seorang sejarahwan dan sasterawan Mesir, Ahmad bin Yusuf, menyebutkan dalam sebuah bukunya yang sangat mengagumkan dan unik, Al-Mukafa’ah wa husnul Uqba;
“Manusia sebenarnya telah mengetahui bahawa pergantian keadaan (yakni lenyapnya kesedihan dan kesusahan) dengan sesuatu yang sebaliknya adalah sesuatu perkara yang pasti sebagaimana lenyapnya malam menandakan munculnya siang. Namun kelemahan tabiat manusia selalu saja mengiringi jiwa pada saat terjadinya bencana.
Jika tidak diubati maka akan bertambahlah penyakitnya, dan akan semakin besar cubaannya. Masalahnya adalah bahawa jiwa harus diberi kekuatan baru pada saat berada di dalam kesusahan. Ini kerana apabila tidak disuntik dengan kekuatan baru, jiwa akan dipenuhi keputus-asaan, yang seterusnya akan menghancurkan dirinya sendiri.
Perkara yang patut direnungi dalam bab ini (bab tentang orang yangan mendapat cubaan lalu bersabar, dan hasil kesabarannya itu adalah balasan yang terbaik) adalah merupakan perkara yang dapat menguatkan jiwa dan mendorongnya untuk terus bersabar dan menjaga kebaikan akhlak terhadap Tuhan berupa berbaik sangka terhadap-NYA, bahawa akhir dari segala ujiannya adalah kebaikan.”
Di akhir buku itu iaitu pada bab penutup ia mengatakan:
“Penutup, Bazrajumhar mengatakan; ‘Kesusahan yang datang sebelum kemudahan itu laksana rasa lapar yang datang sebelum kemudahan itu laksana rasa lapar yang datang sebelum adanya makanan. Sehingga letak kesusahan itu akan tepat beriringan dengan datangnya kemudahan setelah itu, dan makanan akan terasa lazat dimakan ketika bersama lapar.’
Plato mengatakan:
“Kesusahan itu akan memperbaiki jiwa sebanding dengan kehidupan yang dirosaknya. Sedangkan kesenangan akan merosak jiwa sebanding dengan kehidupan yang diperbaikinya.”
“Peliharalah jalinan persahabatan dengan setiap teman yang memberikan kesusahan kepadamu dan berhati-hatilah terhadap setiap teman yang memberikan kesenangan kepadamu.”
“Kesenangan itu laksana malam, kerana tiada yang boleh meramalkan apa yang ada di dalamnya dan apa yang diperoleh darinya. Sebaliknya, kesusahan itu laksana siang, kerana anda melihat dengan jelas apa yang anda usahakan dan apa yang diusahakan oleh orang lain.”
Azdasyir mengatakan:
“Kesusahan itu bagaikan celak yang dengannya anda dapat melihat sesuatu yang tidak dapat anda lihat dengar kenikmatan.”
“Ada dua sikap yang boleh dijadikan sebagai kekuatan agar seseorang mampu meraih manfaat dari kesusahan yang menimpanya;
1. Sikap yang paling ringan iaitu memiliki kekuatan hati untuk menerima setiap kesusahan yang menimpanya.
2. Sikap yang sangat berat iaitu mampu menyerahkan sepenuhnya (tafwidh) atas kesusahan yang dihadapinya kepada Zat Yang Maha Menguasai dirinya dan Yang Maha Memberi rezeki kepadanya.”
Jika fikiran seseorang itu telah mantap terhadap Penciptanya, maka dia akan tahu bahawa Allah s.w.t, tidak mengujinya kecuali bahawa ujian itu akan mendatangkan kebaikan baginya berupa pahala dan penghapusan dosa. Dengan demikian ia akan menyedari bahawa dirinya mendapat keuntungan dan faedah yang terus-menerus dari Allah s.w.t.
Namun sebaliknya, apabila fikirannya disandarkan kuat pada selain dari Allah s.w.t, tentu akan banyak keburukkan yang menimpanya dan semakin bertambah sikap kepura-puraannya. Dia akan merasa bosan terhadap setiap keadaan yang dilaluinya, kerana menurut perkiraannya perkara itu akan berlangsung dalam waktu yang singkat. Dia merasa terlalu lama dengan ujian yang menimpanya, yang diharapkan akan segera berakhir. Dia takut dengan perkara-perkara yang tidak menyenangkan padahal belum tentu ia menimpanya.
Munajat itu dikatakan benar bila dilakukan diantara seorang hamba dengan Tuhannya kerana dia sedar bahawa ada sesuatu yang sangat rahsia dan dia percaya terhadap apa yang dikatakan oleh kata hatinya. Sedangkan munajat yang dilakukan antara seseorang dengan sesamanya lebih sering menyakitkan dan tidak menyentuh kemaslahatan.
Allah s.w.t memiliki rahmat yang diberikan ketika seseorang hampir putus asa darinya. Rahmat itu akan diberikan kepada sesiapapun yang Dia kehendaki. Hanya kepada Allah tempat memohon segala kelapangan dan kemudahan dalam segala urusan diajukan. Hanya kepada Allah Zat yang Maha Mengabulkan permohonan dikembalikan. Sesungguhnya cukuplah Allah s.w.t sebagai sebaik-baik penolong dan sebaik-baik pelindung.
Buku karya At-Tanukhi yang berjudul ‘Al-Farj Ba’dasy Syiddah’ ada menyebutkan;
Pertama:
Adanya jalan keluar setelah kesusahan adalah merupakan sunnatullah yang telah berlangsung lama dan merupakan kepastian yang telah lama diterima secara umum. Contohnya, datangnya Subuh adalah pasti setelah malam hari yang tiada kerugian lagi akan kemunculannya.
Kedua:
Perkara-perkara yang tidak disukai justeru akan banyak memberikan manfaat dan faedah yang lebih bagus dan lebih baik terhadap hamba dalam kehidupan beragama dan keduniaannya, daripada perkara-perkara yang disukai.
Ketiga:
Yang memberikan manfaat dan menolak mudharat sebenarnya adalah Allah s.w.t Yang Maha Tinggi. Maka, ketahuilah bahawa apa yang akan menimpa diri anda tidak akan menimpa orang lain dan apa yang tidak akan menimpa diri anda tidak akan pernah menimpa.
Pengajaran:
1. Ingatlah setiap apa sahaja yang berlaku kepada kita pasti ada hikmah dan rahsianya, hanya Allah Yang Maha Mengetahui.
2. Untuk mendapat sesuatu pasti kita perlu menempuh sesuatu. Untuk sampai ke tempat yang jauh, pasti kita merasai kepenatan dan kesusahan berjalan jauh. Untuk sampai ke puncak yang tinggi, pasti kita kehausan dan kepenatan mendaki, untuk sampai ke syurga yang abadi, pasti ia penuh liku yang amat berduri.
3. Adakah kita boleh mengaku kita ini beriman sedangkan ujian yang Allah timpakan amat sedikit tetapi keluhan kita berpanjangan?
*Petikan dari buku motivasi Islam yang terlaris dan terhangat di pasaran La Tahzan (Jangan Bersedih) karangan Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan