042 AMBILLAH CONTOH KEHIDUPAN PARA SAHABAT
Mari kita kembali ke suatu hari bersama salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang sangat terpilih dan sangat agung, Ali bin Abi Thalib, bersama isterinya, Fatimah iaitu anak kesayangan dan buah hati Rasulullah s.a.w.. Suatu pagi Ali bangun dari tidur bersama isterinya, Fatimah, kemudian mereka mencari sesuatu untuk dimakan.
Namun, tidak menemui sesuatu apa pun untuk dimakan. Ali pun memakai jubah berlapis bulu binatang kerana kota Madinah pada ketika itu amat sejuk sekali, lalu keluar mencari makanan ke sekeliling kota Madinah. Tiba-tiba dia teringat kepada seorang Yahudi yang mempunyai kebun dan segera menuju kepadanya. Melihat kedatangan Ali, orang Yahudi itu menyapa, “Wahai orang Badwi, kemarilah, bantu kami mengambil air. Aku akan mengupahmu untuk setiap timba dengan satu biji kurma.”
Ali pun membantunya hingga kedua-dua tangannya bengkak dan badannya letih. Kemudian Ali pulang membawa kurma tersebut. Di dalam perjalanan pulang, dia bertemu Rasulullah s.a.w., dan dia pun memberikan sebahagian kurma itu kepada Rasulullah s.a.w.. Sisanya dimakan bersama Fatimah pada hari itu.
Seperti itulah kehidupan mereka, tetapi mereka merasakan rumah mereka penuh dengan kebahagiaan, ketenangan, cahaya dan keriangan.
Hati mereka hidup dengan prinsip-prinsip luhur yang diajar oleh Rasulullah s.a.w.. Mereka hidup dengan idealisme yang tinggi. Mereka berbuat menurut gerak hati dan jiwa yang suci sehingga mampu melihat mana yang benar dan mana yang tidak, mana yang harus diamalkan dan yang mana harus dijauhi. Mereka mengetahui nilai sesuatu, hakikat permasalahan dan apa sahaja yang ada disebalik permasalahan yang ada.
Lalu di mana kebahagiaan Qarun, di mana kesenangan, kegembiraan dan ketenangan Haman. Yang pertama dikuburkan hidup-hidup, sedangkan yang kedua terkutuk. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Hadid ayat ke 20 yang bermaksud;
“...seperti hujan yang tanam-tanamannya mengkagumkan para penanamnya, kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya menguning, kemudian menjadi hancur...” (Al-Hadid: 20)
Kebahagiaan itu juga ada dalam diri Bilal, Salman dan Ammar r.a.. Ini kerana Bilal yang mengumandangkan azan kebenaran, Salman bersaudara dengan kebenaran dan Ammar memenuhi setiap janji. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Ahqaf ayat 16 yang bermaksud;
“Mereka itulah orang-orang yang Kami terima dari mereka amal baik yang telah mereka kerjakan dan Kami ampuni kesalahan-kesalahan mereka, bersama penghuni-penghuni syurga, sebagai janji benar yang telah dijanjikan kepada mereka.” (Al-Ahqaf: 16)
Muat turun artikel ini di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan