KEMAHUAN YANG MEMBAJA
Seorang mahasiswa yang berasal dari salah sebuah negara Islam belajar di barat, iaitu di London. Di sana dia tinggal bersama keluarga Britain yang bukan Islam untuk mendalami bahasa Inggeris. Dia adalah seorang pelajar Muslim yang sangat taat kepada ajaran Islam, selalu bangun seawal pagi untuk pergi ke tempat air dan berwuduk. Air di sana sangat sejuk kerana cuacanya. Selepas itu dia akan ke tempat solatnya untuk bersujud, rukuk, bertasbih dan bertahmid kepada Allah s.w.t.
Bersama keluarga angkatnya terdapat seorang tua yang selalu memerhatikan setiap tingkahlakunya. Setelah beberapa hari berlalu, wanita itu pun bertanya. “Apa yang engkau lakukan?” Pelajar itu pun menjawab, “Agamaku memerintahku untuk melakukan ini.”
Perempuan tua itu bertanya lagi, “Mengapa tidak kamu tunda waktunya untuk beberapa saat agar kamu boleh lebih menikmati tidurmu?” Pelajar itu menjawab, “Tetapi Tuhanku tidak akan menerima jika aku menangguhkan waktu solat dari waktu yang telah ditentukan.”
Perempuan tua itu pun menganggukkan kepalanya dan berkata, “Sungguh, ini adalah suatu kemahuan yang mampun mematahkan sebatang besi!” Firman Allah s.w.t. di dalam surah An-Nur ayat 37;
“(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya, yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.”
Inilah tuntutan iman, bukti kuatnya keyakinan dan pengaruh tauhid. Kekuatan ini pulalah yang telah memberi inspirasi kepada para penyihir Firaun. Mereka terketuk untuk beriman kepada Allah s.w.t., Tuhan semesta alam ketika mereka terlibat dalam pertarungan antara Nabi Musa a.s. dan Firaun. Mereka berkata kepada Firaun;
“Mereka menjawab: "Kami tidak sekali-kali akan mengutamakanmu daripada apa yang telah datang kepada Kami dari mukjizat-mukjizat Yang terang nyata, dan (tidak akan mengutamakanmu daripada) Tuhan yang telah menjadikan kita semua. Oleh itu, hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah dapat menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja.”
Ini adalah suatu pertentangan yang jarang didengar. Ketika itu mereka merasa berkewajipan untuk menyampaikan risalah dan kalimat yang benar dan kuat (kalimat tauhid) kepada penguasa yang kafir dan diktator itu.
Hubaib bin Zaid pernah menemui Musailamah Al-Kadzdzab untuk mengajaknya kembali kepada tauhid. Namun Musailamah menolak, bahkan mencincang tubuhnya. Walaupun dia diperlakukan seperti itu, Hubaib sama sekali tidak mengerang, berteriak dan sama sekali tidak gentar hingga akhirnya menemui ajalnya sebagai seorang syahid. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Hadid ayat 19;
“Dan orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya, merekalah pada sisi (hukum) Tuhan mereka, (orang-orang yang mempunyai kedudukan yang tinggi darjatnya) seperti orang-orang ‘Siddiqiin’ dan orang-orang yang mati syahid; mereka akan beroleh pahala dan cahaya orang-orang ‘Siddiqiin’ dan orang-orang yang mati syahid itu; dan (sebaliknya) orang yang kufur ingkar serta mendustakan ayat-ayat keterangan kami, merekalah ahli neraka.”
Saat Hubaib bin Zaid di angkat ke tiang gantungan kematian malahan dia bersenandung;
Aku tidak khuatir jika tewas dalam keadaan Muslim Di mana pun aku berada Kematianku ada dalam kekuasaan Allah s.w.t.
Dari Buku Motivasi Islami Terlaris, La Tahzan, tulisan Dr. ‘Aidh Abdullah Al-Qarni.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan