BERSABARLAH
Diriwayatkan dari Anusyirwan, bahawa ia pernah mengatakan, “Semua ujian di dunia ini dapat dikategorikan kepada dua; Pertama, yang dapat dicari jalan keluarnya. Ubatnya adalah goncangan jiwa. Kedua, yang tidak dapat dicari jalan keluarnya. Yang ini sembuh justeru dengan menyambutnya.”
Menurut kalangan bijak bistari, “Untuk menyelesaikan suatu masalah yang tidak ada jalan keluarnya adalah dengan bersabar.” Dikatakan, “Barangsiapa yang selalu bersabar, pasti akan beroleh kemenangan.” Peribahasa Arab berkaitan dengan sabar banyak sekali;
- Sabar adalah kunci kejayaan.
- Barangsiapa bersabar, maka dia akan berjaya mengatasi permasalahan.
- Hasil kesabaran itu adalah kejayaan.
- Tatkala musibah yang menimpa itu sedemikian berat, pasti akan datang kebahagiaan.
Peribahasa yang lain;
- Takutlah terhadap bahaya yang datang dari celah-celah kemudahan.
- Haraplah beroleh manfaat dari adanya larangan.
- Ghairahkan hidup ini dengan mencari kematian.
- Tidak jarang keabadian itu justeru didapati disaat mencari kefanaan dan tidak jarang pula kefanaan itu justeru didapati disaat ingin untuk hidup abadi.
- Keamanan itu kebanyakan datang dari arah yang menakutkan.
Orang-orang Arab mengatakan, “Sesungguhnya dalam keburukan itu ada kebaikan.” Menurut Al-Ashma’i ungkapan di atas bererti, keburukan itu lebih mudah dari apa saja. Sedangkan menurut Abu Ubaidah bererti, jika anda ditimpa musibah anda harus menyedari bahawa di sana masih ada musibah yang lain yang jauh lebih besar, sehingga anda akan merasa bahawa musibah yang menimpa diri anda itu masih ringan.
Seorang yang tidak pandai mengatakan, “Akibat dari segala sesuatu itu masih diawang-awang. Boleh saja sesuatu yang dicintai itu ternyata ada di dalam perkara yang tidak disukai, atau yang tidak disukai itu ternyata ada di dalam perkara yang dicintai. Orang yang bergelumang dengan kenikmatan ternyata banyak termakan oleh kenikmatan itu sendiri, dan orang yang menderita dalam hidupnya kerana penyakit yang dideritainya ternyata boleh sembuh oleh penyakit itu sendiri.”
Boleh jadi kebaikan itu datang dari keburukan dan sesuatu yang berguna datang dari perkara yang membahayakan. Wada’ah As-Sahmi mengatakan, “Bersabarlah atas keburukan jika itu harus engkau terima kerana boleh jadi keburukan itu membuatmu gembira. Di bawah buih itu terdapat susu yang putih bersih.”
Allah s.w.t. akan mendatangkan kegembiraan tatkala semua harapan telah putus. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Yusuf ayat 10 yang bermaksud;
“Sehingga apabila para Rasul sudah tidak mempunyai harapan lagi (akan keimanan kaumnya) dan telah yakin bahawa mereka telah didustakan, datanglah kepada para Rasul itu pertolongan Kami...” (Yusuf: 10)
Firman Allah s.w.t. lagi dalam surah Al-Anfal ayat 46 yang bermaksud;
“...sesungguhnya Allah s.w.t. bersama orang-orang yang sabar.” (Al-Anfal: 46)
“...sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (Az-Zumar: 10)
Seorang penulis mengatakan, “Allah s.w.t. datang menghampiri orang yang dicintai-Nya dari arah yang telah ditentukan sebagai arah datangnya perkara yang tidak disukai, dan membukakan jalan keluar ketika harapan telah pupus dan ketika semua jalan telah buntu. Ini semua dimaksudkan agar semua makhluk-Nya terdorong untuk mengalihkan harapannya kepada-Nya dan memurnikan niat untuk bertawakal kepada-Nya, agar suatu saat nanti ia tidak berpaling dari-Nya, dan tidak bosan menunggu jalan keluar dari-Nya. Disamping itu, ketika ia ditimpa kesusahan ia masih tetap ketawa dengan keyakinan bahawa Allah s.w.t. hanya menurunkan ujian yang ringan, bukan yang lebih besar dari itu dan ia juga masih senang kerana Allah s.w.t. hanya menurunkan musibah yang kecil dibandingkan jika yang ditimpakan lebih besar lagi (yang tentunya tidak dapat ditanggung).”
Barangkali teguran yang ditujukan kepadamu
Terpuji kesudahannya
Kerana boleh jadi tubuh menjadi sihat
Setelah ditimpa penyakit
Terpuji kesudahannya
Kerana boleh jadi tubuh menjadi sihat
Setelah ditimpa penyakit
Ishaq, seorang ahli ibadah mengatakan, “Mungkin Allah s.w.t. menguji hamba-Nya dengan suatu musibah, justeru untuk menyelamatkannya dari kebinasaan. Sehingga musibah itu menjadi nikmat terbesar baginya.”
“Orang yang bersabar dalam menghadapi ujian, menerima semua ketentuan Allah s.w.t., dan bersabar atas semua kesusahan, nescaya Allah s.w.t. akan menampakkan kepadanya kebaikan agar ia dapat memahami kemaslahatan yang tersembunyi di sebalik itu.”
Cerita dari kalangan Kristian mengatakan bahawa seorang Nabi pernah berkata, “Ujian itu adalah latihan dari Tuhan dan tentunya latihan tidak selama-lamanya. Maka beruntunglah orang yang bersabar selama masa latihan itu dan bertahan selama masa ujian berlangsung. Dia berhak mengenakan mahkota kemenangan dan mahkota kejayaan yang telah Tuhan janjikan kepada mereka yang mencintai Tuhan mereka dan taat kepada Tuhan mereka.”
Ishaq mengatakan, “Awas, jangan mengeluh ketika engkau dicengkam taring-taring ujian memang kerana jalan ke arah kebaikan sangat sukar.” Kata Bezrajmahar pula, “Menunggu pertolongan dan jalan keluar dengan bersabar akan mendatangkan kebahagiaan.”
Muat turun artikel ini di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan