(020) JANGAN BERSEDIH BILA MAUT DATANG DENGAN TIBA-TIBA


Ibrahim bin Al-Jarrah berkata:

“Ketika Abu Yusuf sakit, aku datang menziarahinya, namun aku mendapatinya sedang pengsan. Ketika sedar, dia bertanya;

“Apa pendapatmu tentang persoalan ini?” Aku menjawab;

“Apakah dalam keadaan seperti ini engkau masih menanyakan perkara itu?” Dia menjawab;

“Tidak mengapa kita mempelajarinya, semoga dengannya ada orang yang terselamat.” Abu Yusuf berkata lagi;

“Wahai Ibrahim, mana yang paling baik saat melempar jamrah dengan berjalan kaki atau menaiki kenderaan?” Aku menjawab;

“Dengan menaiki kenderaan.” Dia berkata;

“Engkau salah!” Kemudian aku mengatakan;

“Dengan berjalan kaki!” Dia berkata lagi;

“Engkau juga salah!” Lalu aku bertanya dia pula;

“Lalu, mana yang lebih baik?” Dia menjawab;

“Bagi yang berdiri lebih dekat, maka lebih baik melempar sambil berjalan kaki. Namun yang berdiri jauh dari jamrah, maka lebih baik melempar dengan menaiki kenderaan.”

Lalu aku pun beranjak dari sisinya. Belum sampai aku mencapai pintu rumahnya, aku terdengar tangisan mengisinya dan ternyata ia telah meninggal dunia. Semoga Allah s.w.t melimpahkan rahmat kepadanya.

Salah seorang penulis pada zaman moden ini mengatakan;

“Beginilah keadaan mereka dahulu. Kematian telah berada di atas kepala mereka dengan segala kesusahannya. Sakaratul maut telah membuat hembusan nafas tersengal-sengal dan dada terasa sesak. Berkali-kali mereka pengsan, tidak sedarkan diri. Namun ketika tersedar, mereka masih sempat menanyakan beberapa perkara yang berkaitan dengan ilmu atau permasalahan mandub, untuk dipelajari atau untuk diajarkan kepada orang lain, padahal ia pada saat itu sudah mendekati ajalnya.”

Saat itulah sang penyantun
Terlupa akan kata-kata bijaknya
Dan seorang cerdik pandai kehilangan akal

Ya Allah, betapa berharganya ilmu bagi mereka. Alangkah aktifnya fikiran dan akal mereka dengan ilmu! Bahkan pada saat menjelang kematian pun mereka tidak ingat kepada isteri atau anak yang seharusnya dekat dan berharga di sisinya. Yang mereka ingat hanyalah ilmu. Semoga Allah s.w.t memberikan rahmat-Nya kepada mereka. Oleh kerana itu, pantaslah bila mereka menjadi anutan dalam bidang ilmu dan agama.

Wahai sahabatku ingatlah;

1. Mereka ini sehingga ke saat akhirnya masih lagi ingin belajar dan mengajar. Bagaimana agaknya dengan kematian kita? Sehinggakan pada zaman ini, sudah ada dikalangan kita yang mengakui mereka adalah pendakwah, tetapi sudah mula berhenti belajar walaupun ajalnya belum dipanggil Allah. SubhanAllah.

2. Kepentingan ilmu buat mereka adalah tiada tolok bandingnya. Ajal yang datang bukanlah kesukaran bagi mereka, tidak apa-apa yang perlu dikhuatirkan mereka apabila ajal mereka tiba. Seolah-olah persiapan mereka sudah hampir sempurna.

3. Pada ummat manusia hari ini, kematian adalah sesuatu yang dikhuatirkan sentiasa, kerana tiada apa yang ditinggalkan buat anak isteri atau ahli keluarga, sedangkan mereka, ilmu lebih utama dari ahli keluarga.

4. Bagaimana agaknya kita semua akan menghadapi kematian kita?





*Petikan dari buku motivasi Islam yang terlaris dan terhangat di pasaran La Tahzan (Jangan Bersedih) karangan Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ARTIKEL TERKINI

(La Tahzan) 048 Bersikap Optimis