(030) KEKAFIRAN PUN ADA TAHAPNYA


KEKAFIRAN PUN ADA TAHAPNYA


Bekas Presiden Amerika, Gearge Bush di dalam catatan harian beliau berjudul ‘Moving Ahead’, disebutkan bahawa beliau melihat jenazah Presiden Brezhnev (Presiden Soviet Union – di Moscow). Katanya, “Saya melihat jenazahnya hitam legam, tidak ada keimanan dan tidak ada roh”. Beliau boleh berbicara begini kerana beliau adalah seorang Kristian sedangkan si mati adalah seorang Atheis. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Maidah ayat 82 yang bermaksud;

“Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: "Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani" yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.”

Mari kita bersama perhatikan bahawa, orang seperti ini boleh merasakan bahawa mereka itu menyimpang, sedangkan meraka sendiri tidak berada pada jalan yang lurus. Cuba kita bersama bayangkan bagaimana jika Bush ini mengenali Islam sebagaimana Allah s.w.t. yang benar? Firman Allah s.w.t. lagi di dalam surah Ali-Imran ayat 85 yang bermaksud;

“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.”

Pernah juga dicatatkan oleh Ibnu Taimiyyah ketika dia bercerita tentang seorang penganut Al-Bathaihiyah (sebuah fahaman sesat dalam aliran sufi). Orang itu berkata kepada Ibnu Taimiyyah, “Apa yang ada padamu sebenarnya Ibnu Taimiyyah? Bila kami datang kepada kamu (iaitu Ahli Sunnah), kehormatan dan darjat kami hilang, tetapi bila kami pergi ke Tartar atau orang-orang Mongol yang kafir itu, kehormatan kami kelihatan?”

Ibnu Taimiyyah menjawab, “Tahukah kamu perumpamaan antara kami, kamu dan orang-orang Tartar itu? Kami ibarat kuda-kuda yang berwarna putih, kamu ibarat kuda yang belang, sedangkan orang-orang Tartar itu ibarat kuda yang hitam. Jika yang belang masuk ke dalam kelompok yang hitam, maka dia seakan-akan berwarna putih dan jika berkumpul dengan yang putih, maka dia seakan-akan berwarna hitam. Kamu masih memiliki sedikit cahaya. Jika kamu masuk ditengah-tengah orang yang kafir, maka nampaklah cahaya itu dan jika kamu datang kepada kami, orang-orang yang memiliki cahaya terbesar dan ahli sunnah, maka nampaklah kegelapan dan warna hitam yang ada pada kamu. Demikianlah perbandingan antara kami, kami dan orang-orang Tartar itu.”

“Adapun orang-orang yang telah putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam limpah rahmat Allah (syurga), mereka kekal di dalamnya.” (surah Ali-Imran: 107)


Pengajaran:
Kembalilah kepada cahaya Allah yang sesungguhnya mendorong kita kepada jalan yang benar dan lurus. Sebarang persimpangan disebabkan hasutan syaitan, nafsu dan kepentingan diri akan merosakkan keimanan yang akhirnya dapat kita lihat melalui tertinggalnya Islam dalam diri kita. Akhirnya, tiada lagi karisma dalam diri Muslim, yang tinggal hanya pangkat, kedudukan dan kekayaan. Apabila segalanya Allah tiadakan, maka yang tinggal hanyalah wajah-wajah hitam dan kusut yang baru teringatkan Allah dan memohon pertolongan. Sesungguhnya, kitalah yang memerlukan pertolongan itu pada setiap masa sebagaimana bacaan Al-Fatihah dalam solat kita yang membawa maksud “kepada Engkaulah sembah dan kepada Engkaulah kami memohon pertolongan”.


Dari buku La Tahzan karangan Dr. ‘Aidh Abdullah Al-Qarni.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ARTIKEL TERKINI

(La Tahzan) 048 Bersikap Optimis